Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata beliau teruja dengan kenyataan dibuat beberapa artis dan personaliti tanah air mengenai kesempitan hidup rakyat akibat kos sara hidup yang tinggi.
Mahfuz menyifatkan artis-artis berkenaan seperti Datuk Aznil Haji Nawawi, Datuk Sheila Majid, Fathia Latiff, Adibah Noor dan Yassin “berani mengangkat suara dan keluh resah rakyat”.
“Lebih membanggakan saya apabila mereka berani keluar dari status sosial mereka untuk berada di tengah realiti kehidupan rakyat marhaen.
“Komen serta luahan isi hati mereka bukan pada sebarangan orang tetapi ditujukan kepada MO1 yang sedang berkuasa,” kata Mahfuz dalam kenyataan medianya.
MOI merujuk kepada individu yang dinamakan dalam saman sivil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) bagi merampas aset yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB .
Menteri di Jabatan Perdana menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan kemudian mengesahkan MO1 yang dimaksudkan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun, Najib berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.
Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bangga artis-artis berani mengangkat suara dan keluh resah rakyat
Baru-baru ini beberapa artis tempatan menyatakan keprihatinan mereka terhadap keadaan ekonomi dan isu politik di negara ini.
Antaranya Sheila Majid yang mengatakan rakyat kini semakin marah dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan hutang yang membebankan mereka.
Menurut Mahfuz, golongan artis berkenaan sanggup keluar dari alam “kehidupan membodek” untuk kepentingan diri kepada keberanian memperjuangkan kepentingan negara dan kehidupan rakyat.
“Malangnya mereka dicemuh oleh spesis 3P (penjilat, pembodek dan pengampu) tegar PM Najib Razak dengan berbagai tuduhan untuk menutup kelemahan pentadbiran MO1 Najib Razak mengurus tadbir kerajaan,” kata Mahfuz.
“Pak Nil, Sheila Majid, saudari Fathiah Latiff, saudari Adibah Nor dan saudara Yassin serta personaliti yang lain juga bagi saya anda selayaknya adalah ‘YB’ di luar parlimen yang tidak mengambil sikap berkecuali dalam masalah keperitan hidup rakyat.
“Anda berani kerana benar. Anda berani untuk menjadi berani demi negara dan rakyat. Terima kasih ‘YB’!”kata Mahfuz.
Sumber: Malaysiakini
sumber : Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bangga artis-artis berani mengangkat suara dan keluh resah rakyat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan