3 Dis 2017

Elyana terkejut ramai mengaku kawan baik dan dah lama tahu kansernya sedangkan tak pernah beritahu

Penyanyi, Elyana, terkejut apabila ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas keadaannya yang bertarung nyawa melawan kanser limfoma tahap empat.

Elyana menerusi perkongsian di Instagram miliknya berkata, ada yang mendakwa berkawan baik dengannya, malah ada yang mengatakan pernah belajar bersama-sama di universiti, sedangkan beliau tidak pernah menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Ramai yang mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka kawan baik saya dan sudah lama tahu mengenai kanser saya, serta menyimpan rahsia itu selama ini.

“Saya tidak pernah memberitahu mereka, apatah lagi bercakap mengenai hal ini kerana tidak terlalu rapat,” katanya.

Menerusi entri berkenaan juga, penyanyi lagu Diriku Tapak Sulaiman itu mendedahkan beberapa orang yang dikatakan sebagai sahabat baiknya dan mereka yang mengetahui perihal kesihatannya daripada mulutnya sendiri.

Ahad lalu, Elyana yang tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) mengumumkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat sejak lima tahun lalu.

Sejak hari itu, penyanyi Niat berkenaan tidak henti-henti menerima kata-kata semangat daripada peminat, termasuk rakan artis yang mendoakan dirinya sembuh daripada penyakit terbabit.

Sementara itu, tambah Elyana, tujuan beliau memuat naik entri berkenaan bukan kerana ingin mengata sesetengah pihak, namun sekadar membuat penjelasan.

“Bukannya apa, kerana mereka bukan orang yang benar-benar tahu mengenai saya, jadi takut tersalah beri maklumat. Itu saja.

“Yang cakap saya makan produk mereka jual pun banyak. Janganlah ambil kesempatan dan berbohong. Tak baik. Saya takut ramai yang tertipu saja.

“Tetapi saya OK saja. Saya terpaksa jelaskan perkara ini kerana ramai yang keliru dan bertanya pada saya. Terima kasih buat mereka yang mendoakan saya. Semoga Allah membalas kebaikan anda semua,” ujarnya lagi.

Sumber: BH Online



sumber : Elyana terkejut ramai mengaku kawan baik dan dah lama tahu kansernya sedangkan tak pernah beritahu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan