Penyanyi popular Dewi Perssik dan suaminya, Angga Wijaya dikatakan telah melanggar peraturan jalan raya dengan memasuki satu laluan kecemasan di Jakarta Selatan, baru-baru ini. Biarpun tidak diberi keizinan namun pasangan ini tetap berkeras dan bergaduh mulut dengan petugas.
Insiden yang berlaku ketika lalu lintas sedang sesak itu membuatkan pengguna jalan raya yang lain tidak berpuas hati dengan Dewi dan suaminya. Sehinggakan saat ini, video ketika mereka bertegang suara dengan petugas telah pun menjadi tular di laman sosial.
Enggan spekulasi menjadi lebih buruk, Dewi Perssik tampil memberi penjelasan di sebalik video tersebut. Pelantun lagu Indah Pada Waktunya itu mengakui dia bukan sengaja memasuki laluan tersebut dan apa yang dilakukannya dengan sebab tertentu.
“Begini ceritanya, saya sebenarnya sudah pun meminta bantuan polis untuk mengawal kereta kami ke Hospital Fatmawati kerana pembantu saya ketika itu sedang mengalami sesak nafas. Walau bagaimanapun ketika sampai di laluan tersebut, petugas tidak membenarkan kami melalui laluan itu.
“Pengawal bukan sahaja bersikap sombong malah sedikit pun tidak mahu mendengar penjelasan suami saya. Lebih kurang pukul 7.30 malam, kami meminta penjaga tersebut membuka laluan kerana keadaan kami yang sedang darurat, tetapi permintaan tidak dipedulikan. Bahkan dengan nada suara yang keras mereka meminta suami saya turun dari kereta.
“Saya sudah pun menjelaskan kepada pengawal yang mana kami dalam kawalan polis namun dia tidak mempercayainya dan mengatakan kami berbohong. Mereka tidak mempercayai apa yang kami perkatakan. Dek kerana itu berlaku sedikit perbalahan di antara pihak kami dan pengawal,” ujarnya.
Ketika perbalahan tersebut berlaku, ada pihak yang bertindak merakam video kejadian.
Dewi dan suaminya dikatakan bersikap angkuh dan mengakibatkan ramai netizen yang tidak berpuas hati dengan menyelar sikap pasangan tersebut.
Merasa difitnah dan alasannya sedikit pun tidak diterima ramai lantas penyanyi ini menceritakan kronologi yang sebenarnya melalui Instagram peribadi miliknya.
Biarpun telah memberi penjelasan panjang lebar untuk menenteramkan keadaan namun netizen masih bertindak menghentamnya bertubi-tubi.
Tiada arahan daripada pihak polis
Biarpun bermati-matian mengatakan pihak polis yang memberikan keizinan kepadanya untuk melalui laluan tersebut namun menurut ketua lalu lintas Metro Jaya, Halim Pagarra, tiada arahan daripada sesiapa pun yang membenarkan artis tersebut melalui laluan tersebut.
Malah Halim meminta agar Dewi tampil ke Metro Jaya untuk bertemu dengannya bagi menyelesaikan masalah tersebut. Dalam masa yang sama, dia juga berharap agar Dewi hadir dengan membawa bukti yang kukuh untuk menunjukkan apa yang diperkatakan adalah benar.
“Jika dia mahu hadir dan bertegas dengan pendiriannya saya terima. Sila datang ke pejabat dan saya tunggu di sini. Jika dia tidak dapat hadir, dia juga boleh menghubungi saya dan mungkin kami boleh bertemu di mana-mana lokasi yang mudah untuk kedua-dua belah pihak.
“Mungkin apabila bertemu nanti dia boleh menyatakan apa sahaja perkara yang tidak puas hati. Ia lebih mudah dan dalam masa yang sama tidak perlu dibahaskan di media. Itu lebih baik dan teratur untuk kesenangan semua pihak,” ujar Halim.
Terdahulu peristiwa menceroboh laluan kecemasan tersebut menjadi tumpuan ramai dan sedang diperdebatkan di laman sosial. Walau bagaimanapun Dewi tetap dengan pendiriannya mengatakan dia mendapat arahan daripada pihak polis untuk menggunakan laluan tersebut.
Namun berdasarkan laporan, tidak ada polis pun yang mengawal serta memberi kebenaran agar kenderaan Dewi melalui laluan tersebut. Malah Dewi dituntut untuk mengemukakan bukti mahupun fakta yang kukuh untuk menyatakan tentang apa yang diperkatakan olehnya.
“Kalau memang ada orang sakit kenapa polis mesti membantu setengah jalan sahaja? Kalau memang ada yang sakit sudah tentu mereka akan hantarkan terus ke rumah sakit,” tutur Halim lagi, mengakhiri bicara.
Sumber: Utusan Online
sumber : Video Dewi Persik dan suami dimaki beramai-ramai kerana bertegas nak guna laluan kecemasan: Dewi Persik tampil jelaskan hal sebenar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan