16 Feb 2018

Mayat menjerit, meronta nak keluar dari kubur

PENDUDUK sebuah perkampungan di Brazil digemparkan dengan mayat seorang wanita, kembali hidup dan bergelut untuk keluar dari keranda selepas 11 hari dikebumikan di tanah perkuburan Senhora Santana, dekat Rio de Janerio.

Keluarga Rosangela Almeida dos Santos, 37, mendakwa dia masih hidup ketika dikebumikan dan penduduk menyatakan terdengar jeritan dari kubur mangsa antara 9 hingga 11 Februari lalu.

Berikutan itu penduduk memecahkan kubur wanita itu dan mengeluarkan keranda mangsa.

Mereka membuka keranda itu memeriksa mayat di dalamnya namun wanita berkenaan disahkan sudah mati.

Namun, ada penduduk mendakwa terdapat kesan keranda berkenaan cuba ditolak ke atas selain ada kesan cakaran dari dalam.

Menurut Daily Mail, suri rumah, Natalina Silva memberitahu laman web G1, ramai terdengar suara jeritan itu pada waktu malam.

“Saya sendiri terdengar keranda diketuk dari dalam. Saya sangka suara kanak-kanak bermain di kawasan perkuburan itu.

“Saya juga dengar raungan,” katanya.

Ibu wanita itu, Germana de Almeida, 66, mendakwa ada kesan kecederaan baharu pada mayat anaknya itu yang tidak kelihatan ketika dikebumikan.

“Saya rasa dia cuba membuka penutup keranda, malah paku juga longgar. Ada kecederaan pada tangannya seperti dia ingin keluar,” katanya.

Rosangela Almeida disahkan meninggal dunia di hospital pada 28 Januari, lalu akibat kejutan septik susulan serangan jantung, seperti dinyatakan dalam sijil kematiannya.

 

Sumber: Harian Metro



sumber : Mayat menjerit, meronta nak keluar dari kubur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan