Khabar gembira buat rakyat Kedah apabila pelbagai insentif dan kemudahan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat ditawarkan dalam Bajet 2018, antaranya, pemberian bekalan air percuma serta pemberian khas RM2,000 kepada penjawat awam Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika membentangkan Bajet 2018, berkata, mulai Januari 2018, kerajaan negeri membayar sepenuhnya bil air bagi penggunaan 20 meter kiub ke bawah bagi pengguna domestik.
“Kita beri bekalan air percuma, bayaran bil itu ditanggung kerajaan negeri, memanfaatkan 221,000 akaun pengguna meliputi 38 peratus keseluruhan pengguna. 20 meter kiub anggaran bil RM10 ke bawah tidak perlu bayar,” katanya.
Menurutnya, kos yang ditanggung kerajaan negeri untuk dibayar kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) secara purata adalah RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun.
“Ia bertujuan menggalakkan penjimatan penggunaan air bersih terawat selain meningkatkan kapasiti margin rizab di kolam takungan,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, pembayaran di Pejabat Pos yang diperkenalkan semula 19 Oktober lalu juga menjimatkan kos Sada sebanyak RM390,000 sebulan dalam pengurusan kos bil pengguna.
“Sada hanya perlu bayar kepada Pejabat Pos RM90,000 sebulan bagi mengendalikan lebih 100,000 akaun pengguna, mewakili 20 peratus keseluruhan 579,000 akaun,” katanya.
Kerajaan Negeri turut mengumumkan pemberian khas RM2,000 kepada 7,000 penjawat awam dengan peruntukan RM14 juta.
“Pembayaran dibuat dua kali, iaitu RM1,000 pada Disember ini bagi membantu kelengkapan persekolahan anak-anak, manakala bayaran kedua sebelum Aidilfitri 2018. Insentif ini bagi menghargai peranan penjawat awam selaku ‘jantung’ pentadbiran kerajaan, tanpa mereka perjalanan pentadbiran menjadi kaku dan tidak bermaya,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, gabungan idea, curahan tenaga serta dedikasi penjawat awam dalam memastikan perancangan pembangunan banyak membantu pimpinan negeri merangka agenda pembangunan rakyat.
“Bagi membolehkan institusi masjid ditadbir dengan cekap, elaun imam dinaikkan dari RM800 kepada RM1,200; elaun bilal (RM750 kepada RM900) manakala elaun siak dari RM475 kepada RM700. Kos membiayai kenaikan elaun ini adalah RM8.2 juta setahun,” katanya.
Menurutnya, insentif bawah agenda peduli rakyat, menyaksikan penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 melibatkan 4,000 penerima dengan biaya keseluruhan RM 2.5 juta.
“Bantuan segera kepada mangsa bencana seperti banjir dan bencana alam dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 bagi mangsa berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.
Pemberian lain termasuk, Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah, memanfaatkan 30,000 pelajar Tahun 1 yang memasuki alam persekolahan sesi 2018 di semua sekolah rendah negeri ini diberikan RM100 setiap seorang dalam bentuk simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
“Saguhati RM500 kepada jemaah haji Kedah diteruskan pada musim haji tahun hadapan. Pada musim ini, seramai 4,564 jemaah melibatkan kos RM2.282 juta,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, insentif kepada guru kampung dan guru Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) turut dinaikkan kepada RM600 berbanding RM450 sebelum ini, memperuntukkan RM2.6 juta sebagai bayaran one off.
“Perkhidmatan bas Rapid dan MyBas diperluas dan ditambah rangkaian operasi laluan untuk manfaat hampir 90,000 pengguna,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
sumber : Kerajaan Kedah umum beri bekalan air percuma, RM2000 bonus penjawat awam dan elaun imam dinaikkan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan