Ketua Kluster Warisan dan Peradaban, Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sebagai individu yang mempunyai peminat dan menjadi ikutan masyarakat, penyampai radio berkenaan seharusnya sedar mereka sebenarnya berkomunikasi dengan pelbagai jenis golongan pendengar setiap kali ke udara dan amat tidak wajar menggunakan perkataan tersebut untuk berbicara.


"Saya kesal dengan penggunaan perkataan`korang’ dan`awak’ di radio"

“Saya kesal dengan penggunaan perkataan`korang’ dan`awak’ di radio”

“Pencemaran dalam bahasa Melayu kini dilihat semakin berleluasa apabila terdapat segelintir penyampai radio yang menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai antaranya `korang’ dan `awak’ sedangkan pendengar radio bukan sahaja seangkatan dengan mereka malah ada dalam kalangan pembesar negeri, golongan lebih berusia seperti guru dan ibu bapa serta kerabat diraja.


“Sepatutnya mereka ini perlu diberi kesedaran termasuk menghadiri kursus penambahbaikan apabila berkomunikasi dengan pendengar kerana bagi saya jika perkara ini terus dibiarkan ia seolah-olah akan membunuh bahasa kebangsaan kita,” katanya ketika ditemui selepas program Bengkel Penghayatan Pantun dan Dondang Sayang anjuran Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma) di Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini sebentar tadi.


Program tersebut dirasmikan oleh Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan dihadiri lebih 100 peserta antaranya pelajar sekolah, penggiat seni dan budaya dari Melaka dan beberapa buah negeri.


Abdul Latiff yang juga Pengerusi Ismma dalam pada itu turut menyambut baik langkah kerajaan mewujudkan jawatankuasa Kabinet tidak lama lagi bagi membincangkan usaha untuk memperkukuhkan penggunaan serta pelaksanaan bahasa Melayu di negara ini termasuk dalam aspek perundangan.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam memaklumkan, pihaknya akan menghantar kertas cadangan berhubung perkara itu kepada jemaah menteri dalam masa terdekat di mana jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


Menurut Abdul Latiff yang juga bekas Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), kewujudan jawatankuasa Kabinet itu membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap mana-mana inidividu yang mencemarkan bahasa. – UTUSAN ONLINE